Bulan Ramadan bulan yang penuh dengan barakah
dan setiap amalan yang
berlipat kali ganda.
Tetapi selalunya kita sebagai wanita dan ibu
banyak
menghabiskan masa didapur menyediakan
hidangan untuk juadah bersahur
dan berbuka.
Memanglah memberi makan kepada orang yang berpuasa pun
mendapat ganjaran pahala juga, cuma khuatir kita tidak
sempat pula
mengejar amalan-amalan
lain kerana fikirkan memasak sahaja.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh kita kongsikan bersama:-
Rancang Hidangan :
Adalah penting untuk merancang menu
terlebih dahulu. Ada yang suka merancang menu bulanan, ada yang
merancang menu mingguan. Apapun, rancanglah menu yang mudah disediakan.
Sediakan Senarai Barang Belian:
Semak keperluan resepi anda
dan pastikan barangan yang diperlukan mencukupi. Perhatikan juga tarikh
tamat tempoh supaya masih boleh digunakan apabila diperlukan nanti.
Manfaatkan masa hujung minggu/masa lapang: Gunakan masa lapang anda
untuk menyediakan stok simpanan anda supaya tidak terkejar-kejar semasa
hendak memasak.
Kupas bahan-bahan rempah/herba:
Kupaskan bawang merah, putih,
besar (anggaran untuk
kegunaan seminggu) halia, lengkuas, kunyit dan lain-lain lagi. Potongkan
bahan yang hendak anda gunakan dalam masa terdekat dan selebihnya
disimpan dalam cling wrap dan dimasukkan dalam peti ais supaya tahan
lama.
Sediakan Perencah/cili kisar:
Masakan Malaysia kebanyakannya
menggunakan cili kisar dan perencah seperti bawang kisar. Potong cili
dalam 2cm dan buang biji, kemudian dibasuh. Selepas itu direbus cili
tersebut dan kemudian dikisar. Simpanan dalam bekas simpanan kecil-kecil
supaya tidak mudah rosak. Boleh juga dicampurkan dengan bawang ataupun
diasingkan.
Cili tumis:
Untuk menjimatkan lebih masa, anda juga boleh
menyediakan cili tumis dengan cara menumis cili anda dengan minyak,
garam, sedikit cuka sehingga airnya kering kemudian disimpan dalam bekas
kecil-kecil atau dalam botol. Boleh digunakan apabila perlu tanpa perlu
menunggu cili masak kerana sudahpun dimasak terlebih dahulu.
Simpan sayur-sayuran:
Sayur-sayuran tidak perlu dibasuh
supaya tahan lama. Sebaiknya disimpan dalam kertas suratkhabar ataupun
foil. Potong siap-siap jika anda mahu lebih cepat. Pastikan juga wap
panas dikeluarkan dahulu sebelum disimpan dalam peti ais supaya tidak
mudah kekuningan.
Penyimpanan ikan:
Ikan perlu dibasuh dan dibersihkan daripada
darahnya. Kemudian disiang dan disimpan asing mengikut keperluan supaya
tidak perlu dinyahbeku kesemuanya apabila mahu digunakan. Untuk
menyegarkan ikan yang sudah dibekukan bolehlah direndam menggunakan susu
segar.
Penyimpanan makanan laut:
Basuh makanan laut anda dan bersihkan seperti biasa. Kemudian disimpan mengikut keperluan.
Penyimpanan ayam: Ayam dibasuh dan diasingkan organ dalaman sekiranya ada. Kemudian dipotong dan disimpan mengikut keperluan.
Penyimpanan daging:
Daging boleh disimpan dalam aluminium foil tanpa dibasuh mengikut keperluan masakan.
Stok telur: Jika ada telur yang sudah dipecahkan, bolehlah disimpan dengan menambah sedikit garam/gula dan disimpan dalam bekas bertutup.
Sambal Belacan:
Tumbuk bahan dan simpan dalam peti ais. Apabila
hendak dimakan, barulah campur dengan perahan asam limau/ limau kasturi.
Jika anda mempunyai lebih masa dihujung minggu, anda bolehlah marinate
ikan/ayam anda dan menyimpannya asing-asing. Selain itu, anda juga boleh
memasak terlebih awal lauk pauk anda dan kemudian frozen lauk tersebut.
Jangan lupa untuk menitikberatkan kira tatacara penyimpanan yang baik.
Simpan dalam bekas kecil-kecil dan bertutup serta labelkan tarikh.
Selain itu, pastikan juga peti ais anda sentiasa bersih dan dapur anda
rapi supaya anda lebih bersemangat untuk bekerja didapur dan dapat
menjimatkan masa anda.
Selamat menyediakan juadah berbuka dan bersahur!
Copy Paste: http://ummikusayang-learning-centre.blogspot.com/
NOTA KAKI: Bole try nanti....................