Monday, December 17, 2012

Belajar melalui kesilapan


Belajar melalui kesilapan bukan bermakna anda perlu melakukan kesilapan. Ungkapan tersebut bermaksud setiap kesilapan yang dilakukan mampu memberi pengajaran, menginsafi keterlanjuran, menyedari kelemahan diri dan memberi ruang untuk membuat penambahbaikan.

Memberi pengajaran
Seseorang itu boleh belajar bukan sahaja daripada guru atau sumber lain tetapi daripada setiap kesilapannya. Sebagai contoh, jika seorang murid melakukan kesilapan dalam latihan matematik, kesilapan tersebut dengan secara tidak langsung memberi pengajaran atau maklumat tentang jawapan atau kaedah yang sebenarnya yang harus dilakukan. Dengan cara ini, dia sudahpun memperolehi pengetahuan baru.
Menginsafi keterlanjuran

Setiap manusia memang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna ia boleh dijadikan alasan setiap kali kita melakukan kesilapan.
Setiap hukuman yang diterima akibat keterlanjuran yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja, seperti melanggari peraturan atau garis panduan disiplin sekolah harus diinsafi, dijadikan iktibar serta bertekad untuk meninggalkannya.

Dalam hal ini, keinsafan yang kita alami ini merupakan proses belajar yang mampu memberi bimbingan ke arah jalan yang benar.

Menyedari kelemahan
Kekuatan dan kelemahan sentiasa berada di diri kita. Seseorang yang kuat dari segi fizikal mungkin lemah dari segi mental atau kerohaniannya. Begitulah juga sebaliknya.

Oleh itu kesilapan yang dilakukan itu memberi isyarat kepada kita bahawa di samping kekuatan yang kita peroleh terdapat lagi banyak kelemehan yang perlu diatasi.

Dengan cara ini, manusia belajar supaya dapat mengelakkan diri daripada sifat angkuh, riak atau sombong terhadap apa yang dimiliki.

Hal ini bukan bermakna kita tidak boleh bangga dengan kekuatan yang ada pada diri kita. Kebanggaan mampu meningkatkan aras harga diri yang sekali gus menjadi faktor penggerak atau motivasi ke arah kejayaan.

Walau bagaimanapun, kebanggaan ini seharusnya digandingi dengan kesyukuran. Kesyukuran mampu mengelakkan diri kita menjadi riak atau sombong. Kesyukuran mampu mengelakkan diri kita menjadi riak atau sombong. Kesyukuran mendekati diri kita kepada Allah dan menghargai setiap pemberian-NYA kepada kita serta mampu memupuk rasa bertimbang rasa kepada yang tiada. Inilah satu pengajaran yang amat besar pada diri kita.

Membuat penambahbaikan
Hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Ungkapan ini menunjukkan setiap hari kita perlu melakukan perubahan diri untuk menjadi cemerlang. Setiap kelemahan bukan berakhir dengan kekecewaan tetapi kita perlu membuat penambahbaikan untuk mencapai kejayaan.
Justeru, kita tidak seharusnya takut atau malu jika berlaku kesilapan ketika belajar. Anda harus mengkaji setiap kesilapan yang dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan yang bijak untuk mengatasinya.
Ingat! setiap kesilapan memberi ruang dan peluang untuk anda membaikinya dan hasilnya kejayaan yang cemerlang menanti anda!







No comments:

Post a Comment