Friday, May 9, 2014

TAZKIRAH: KETUA KELUARGA (SUAMI/AYAH) SEBAGAI PENASIHAT


Sebagai ketua keluarga, anda juga akan menjadi penasihat kepada ahli keluarga anda. Sebelum menasihati, pastikan anda melakukannya terlebih dahulu. Anda juga perlu bijak menanggung risiko atau manfaat hasil daripada nasihat yang anda berikan kerana ahli keluarga anda. Jadi, apa-apa kesan yang akan berlaku kepada mereka akan turut anda rasakan.

Untuk menasihati, anda mestilah tahu waktu yang sesuai untuk menasihati. Waktu itu termasuklah:

- Masa berehat bersama dengan anak-anak
- Masa bersukan dan bersiar-siar dengan mereka
- Dalam kereta ketika dalam perjalanan ke mana-mana
- Sebelum anak masuk tidur (hampir-hampir lena)
- Selepas mandi
- Selepas solat atau membaca al-Quran

Kaedah berikut pula boleh dijadikan panduan untuk menasihati:

Pesanan – Sebagai contohnya, anda ingin meninggalkan anak anda pada ibu anda di rumah kerana terpaksa berkursus yang tidak dapat membawa anak-anak dan mengambil masa yang agak lama. Anda bimbang jika anak-anak anda akan menyusahkan ibu anda. Justeru, sebagai bapa, cuba kumpulkan anak anda dan berpesan kepada mereka. Pernah satu keluarga, ketika mereka hendak meninggalkan anak mereka dengan ibu bapa, mereka menyuruh anak yang paling besar mengambil kertas dan menulis pesanan mereka. Saya sertakan contoh di sini supaya anda dapat
mengaplikasikan dalam kehidupan anda sendiri mengikut pesanan yang sesuai:
1. Bangun pagi, kemaskan tilam tempat tidur
2. Tidak dibenarkan main anak ayam
3. Semua orang mesti solat setiap waktu solat…berjemaah dengan Tok
4. Jangan bergaduh dan menjerit-jerit
5. Semua orang mesti dengar cakap Tok
6. Abah benarkan Tok rotan sesiapa yang melanggar cakap Tok
7. Lepas solat Subuh dan Maghrib mesti mengaji

Beginilah pesanan yang ditinggalkan untuk anak-anak ketika bapa ini mahu meninggalkan mereka. Tandatangan bapa disertakan bersama sebagai tanda pesanan ini memang daripada bapa. Sepanjang anak mereka ditinggalkan, jika berlaku sesiapa yang melanggar peraturan, maka mereka akan saling ingat mengingatkan. Nenek mereka yang mengetahui pesanan ayah mereka juga sering mengingatkan pesanan ayah mereka.

Pesanan itu ditampal pada dinding rumah nenek mereka untuk dijadikan panduan ketika diperlukan. Memang kanak-kanak mempunyai sifat yang pelupa dan perlu diingatkan berkali-kali. Jadi, pesanan yang tertulis begini mungkin kaedah yang sesuai untuk dipraktikkan. Pesanan secara lisan juga mesti dilakukan berulang kali sehingga mereka menjadikan pesanan itu sebagai kebiasaan.

Adakala perkara yang telah diamalkan oleh mereka juga mungkin akan diabaikan. Sebagai contohnya, anda telah mengajar anak anda untuk meletakkan botol susunya ke dalam singki. Namun, suatu hari dia tidak ingat. Yang perlu dilakukan adalah dengan berpesan semula. Jangan putus asa untuk melakukan hal ini kerana tekak anda tidak akan sesekali pecah dengan berpesan dua tiga patah perkataan.

Arahan – Nasihat dalam bentuk arahan mungkin berbunyi lebih tegas dan kebiasaannya perkara itu akan dilakukan segera oleh anak-anak. Dalam keadaan yang sesuai, anda bolehlah menggunakan kaedah ini. Tetapi kurangkan nasihat dalam bentuk ini kerana ada masanya anak tidak dapat menerima apabila diarah-arah dengan kerap. Gunakan kaedah lain untuk menasihati.

Bercerita – Seorang ayah perlulah mengambil kesempatan untuk bercerita dengan anak-anaknya sekalipun pada ke-biasaannya ibu yang mengambil tugas ini. Sekalipun pendek, anda mungkin akan membantu anak-anak itu memahami sesuatu melalui kaedah ini. Jika kebuntuan idea, mungkin anda perlu membanyakkan bahan bacaan terutamanya kisah-kisah para nabi atau pahlawan terkenal zaman dahulu. Kurangkan menceritakan cerita dongeng kerana kisah dongeng hanya akan menyebabkan konflik dalam diri lantaran banyak perkara yang tidak logik dalam kisah dongeng itu sendiri.

Soal jawab – Soal jawab ialah kaedah dua hala dalam me-nasihati anak-anak. Sama ada soalan itu kita ajukan atau soalan itu diajukan oleh anak-anak. Secara umum, kanak-kanaklah yang banyak bertanya kepada kita. Perkara ini menunjukkan anak-anak anda sedang membina sesuatu dalam minda mereka.

Jadi, yang perlu anda lakukan adalah dengan menjawab soalan mereka dengan baik dan bersabar. Kepenatan kadangkala menjadikan anda bosan melayan soalan-soalan yang sama. Namun, yang perlu anda ingat adalah jika anda mahu anak anda menjadi seorang anak yang berilmu, maka jawablah soalan mereka. Tidak mudah untuk membina anak yang berilmu begini kerana perkara ini perlu bermula dari mula berkembangnya minda mereka.

Selain disoal, menasihati juga boleh dilakukan dengan menyoal. Bagi menyampaikan mereka kepada sesuatu nasihat, anda bolehlah menyoal mereka dengan soalan yang membawa kepada motif anda. Sebagai contoh, anak anda mengeluarkan basikal yang anda simpan di dalam stor semasa sepupu mereka bercuti di rumah anda.

Tiba-tiba ada yang berebutkan basikal itu sehingga ada yang menangis. Anda boleh datang dan bertanya kepada anak anda yang mengeluarkan basikal itu, “Sekarang abang tahu tak, kenapa basikal ni abah simpan dalam stor?” Jika anak tidak memahami maksud anda, nyatakanlah, “Abah tak mau adik-adik berebut basikal ni dengan orang lain. Kan tak baik kalau ada yang menangis?”

Merujuk kisah lama – Kisah lama ini terdiri daripada kisah yang pahit atau manis. Sekiranya kisah itu kisah yang pahit, maka jadikanlah satu sempadan tetapi kisah yang membawa kepada memori yang manis pula dijadikan contoh. Sebagai contoh, jika anak-anak bergaduh di dalam kereta, maka anda bolehlah bercerita bahawa kereta itu pernah terlibat dalam kemalangan.

Memandu memerlukan konsentrasi tetapi sekiranya anak-anak asyik bergaduh, keadaan yang tidak diingini mungkin akan berlaku. Sekiranya anda masih menyimpan gambar kemalangan itu, bolehlah anda tunjukkan kepada mereka supaya mereka berhenti bergaduh kerana takut terjadinya kemalangan.

Kisah manis yang boleh dicontohi pula ialah kisah kejayaan ahli keluarga yang lain. Sekiranya ada anak buah anda yang telah masuk ke universiti, minta dia menceritakan kepada anak-anak perasaan berada di universiti. Anda boleh menyoal anak buah anda itu tentang kaedah yang digunakannya untuk belajar supaya anak-anak anda yang mendengar boleh mengambil iktibar daripada cerita tersebut.

Latihan – Anak-anak memerlukan aktiviti yang berulang-ulang dan berterusan sebelum dia dapat menguasai sesuatu. Jadi, latihan adalah penting dalam mendidik anak. Bimbing dia dalam apa-apa yang tidak diketahuinya dan betulkan kesalahan yang dilakukannya. Perkara ini akan menyebabkan dia mahir dalam sesuatu hal.

Bermain – Antara masa menasihati yang paling sesuai adalah ketika bermain. Seperti yang kita ketahui, masa bermain ialah masa yang menggembirakan. Jadi, ketika bermain, kita bolehlah menasihati perkara yang ringan. Sebagai contoh, anda melarang anak anda untuk bermain dengan budak nakal.

Apabila melihat dia begitu gembira bermain dengan anda, nyatakan kepadanya, “Kalau Angah main kat rumah dengan ibu, abah dan adik-adik kan lebih best. Takde abah nak marah-marah Angah.” Mereka akan memahami betapa anda prihatin terhadap mereka dan sering mahu berada bersama dengan mereka. Sekiranya perlu, ajak kawan-kawan anak anda untuk bermain bersama.

Bergurau – Nasihat yang mengandungi unsur humor juga mudah untuk diterima oleh anak-anak. Sekiranya mungkin, kaedah ini ialah kaedah yang sangat sesuai untuk digunakan dalam kebanyakan masa apatah lagi bergurau menggembirakan hati mereka.

Teguran – Sekiranya anak telah melakukan kesalahan, menjadi tanggungjawab anda untuk menegur anak itu supaya dia tidak tersasar lagi. Seterusnya, beri dia peluang untuk berubah supaya teguran yang anda berikan boleh diterima olehnya dengan lebih terbuka. Ada masanya jika kita melakukan kesalahan dan ditegur oleh anak, maka ucapkanlah terima kasih atas tegurannya supaya dia lebih menghargai teguran kita pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment