“Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu
pengetahuan di situ, maka Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan untuk
menuju ke syurga.” – Abu-Hurairah
Sejak kecil, kita diajarkan tentang Ilmu. Sewaktu usia awal,
bermula dari pendidikan di rumah, ibu dan ayah kita telah mengajar kita
membaca, menulis, dan mengira. Kemudian, kita dihantar ke sekolah untuk menimba
ilmu selama hampir 12 tahun bermula dari zaman tadika sampailah selesai
menduduki SPM. Setelah itu, kita dihantar pula ke universiti, untuk apa? tidak
lain hanyalah semata-mata untuk menimba ilmu.
“ Andai sewaktu kita kecil dahulu, kita ada menanam benih
durian, maka pada usia kita tamat pengajian di universiti, benih yang kita
tanam itu pasti sudah menghasilkan hasil buah yang cukup ranum. “
Tidak ramai yang menyedari akan hakikat sebenar ilmu di
dalam kehidupan, dan tidak ramai pula yang tersilap dalam mengertikan maksud
ilmu yang sebenar.
“Hari ini kita melihat ramai orang berilmu, namun tidak
ramai yang beramal dengan ilmu yang mereka miliki. Hari ini kita juga melihat
ramai orang yang beramal, namun tidak ramai yang beramal itu adalah dari
golongan orang yang berilmu. ”
Muaz bin Jabal pernah menegaskan :
“Tuntut olehmu akan ilmu sesungguhnya menuntut ilmu kerana
Allah akan menjadikan kamu takut kepada-Nya. Menuntut ilmu adalah ibadat,
mengingati ilmu merupakan tasbih, membincangnya pula adalah jihad dan sekiranya
kamu ajar kepada orang yang tidak mengetahui adalah sedekah. Manakala
menghabiskan masa dengan ahli ilmu merupakan pendekatan diri kepada Allah dan
ilmulah yang memberi pengetahuan terhadap kamu soal halal haram, makruh atau
syubhah yang akan terpelihara diri kamu dari api neraka”.
Orang yang berilmu, akan takut kepada Allah SWT sedangkan
orang yang tidak berilmu pula angkuh kepada kebesaran Allah. Sikap malas
mencari ilmu menunjukkan betapa angkuhnya diri kita, seolah-olah kita sudah
cukup berilmu. Namun, ada kalanya, orang yang berilmu itu juga boleh jadi
sangat angkuh dan sombong kepada kebesaran kerajaan Allah Azza Wa Jalla.
Ilmu itu tidak ada pilihan lain selain perlu dituntut sampai
ke mati.
Sabda Nabi Muhammad SAW ,
“Menuntut Ilmu itu WAJIB ke atas setiap muslim”
Selagi mana kita berpijak di bumi milik Allah SWT,
tanggungjawab kita untuk menuntut ilmu perlu kita pikul dan laksanakan.
Sesungguhnya ilmu yang Allah kurniakan kepada kita ini hanyalah umpama titisan
air di lautan, sedangkan ilmu Allah itu tersangatlah luas seluas lautan yang
terbentang.
“Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa
menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu”. – As-Syafie.