Friday, June 7, 2013

TAZKIRAH: ILMU JALAN MENUJU SYURGA



“Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga.” – Abu-Hurairah
Sejak kecil, kita diajarkan tentang Ilmu. Sewaktu usia awal, bermula dari pendidikan di rumah, ibu dan ayah kita telah mengajar kita membaca, menulis, dan mengira. Kemudian, kita dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu selama hampir 12 tahun bermula dari zaman tadika sampailah selesai menduduki SPM. Setelah itu, kita dihantar pula ke universiti, untuk apa? tidak lain hanyalah semata-mata untuk menimba ilmu.
“ Andai sewaktu kita kecil dahulu, kita ada menanam benih durian, maka pada usia kita tamat pengajian di universiti, benih yang kita tanam itu pasti sudah menghasilkan hasil buah yang cukup ranum. “
Tidak ramai yang menyedari akan hakikat sebenar ilmu di dalam kehidupan, dan tidak ramai pula yang tersilap dalam mengertikan maksud ilmu yang sebenar.

“Hari ini kita melihat ramai orang berilmu, namun tidak ramai yang beramal dengan ilmu yang mereka miliki. Hari ini kita juga melihat ramai orang yang beramal, namun tidak ramai yang beramal itu adalah dari golongan orang yang berilmu. ”
Muaz bin Jabal pernah menegaskan :
“Tuntut olehmu akan ilmu sesungguhnya menuntut ilmu kerana Allah akan menjadikan kamu takut kepada-Nya. Menuntut ilmu adalah ibadat, mengingati ilmu merupakan tasbih, membincangnya pula adalah jihad dan sekiranya kamu ajar kepada orang yang tidak mengetahui adalah sedekah. Manakala menghabiskan masa dengan ahli ilmu merupakan pendekatan diri kepada Allah dan ilmulah yang memberi pengetahuan terhadap kamu soal halal haram, makruh atau syubhah yang akan terpelihara diri kamu dari api neraka”.
Orang yang berilmu, akan takut kepada Allah SWT sedangkan orang yang tidak berilmu pula angkuh kepada kebesaran Allah. Sikap malas mencari ilmu menunjukkan betapa angkuhnya diri kita, seolah-olah kita sudah cukup berilmu. Namun, ada kalanya, orang yang berilmu itu juga boleh jadi sangat angkuh dan sombong kepada kebesaran kerajaan Allah Azza Wa Jalla.
Ilmu itu tidak ada pilihan lain selain perlu dituntut sampai ke mati.
Sabda Nabi Muhammad SAW ,
“Menuntut Ilmu itu WAJIB ke atas setiap muslim”

Selagi mana kita berpijak di bumi milik Allah SWT, tanggungjawab kita untuk menuntut ilmu perlu kita pikul dan laksanakan. Sesungguhnya ilmu yang Allah kurniakan kepada kita ini hanyalah umpama titisan air di lautan, sedangkan ilmu Allah itu tersangatlah luas seluas lautan yang terbentang.
“Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu”. – As-Syafie.

No comments:

Post a Comment