Buat seseorang yang aku kenali yg kehilangan permata kesayangannya.....
Setiap yang
bermula, pasti ada akhirnya. Setiap yang hitam, pasti ada putihnya. Setiap yang
kabur, pasti ada jelasnya. Dan setiap yang benci, pasti ada sayangnya. Setiap
yang sedih, pasti ada gembiranya. Begitulah, setiap yang hidup, pasti ada matinya.
Dulu, ketika
dia hidup, baktinya berbuah rasa kasih. Dia penyeri kehidupan kita.
Kadang-kadang, hanya dengan memandang wajahnya, kita merasakan tenang dan
senang. Seolah-olah, diwajahnya itu ada nur yang menceriakan, ada jalan keluar
setiap kebuntuan. Saat kita sedih, dia datang, tanpa berkata apa-apa dia
mengusap kepala kita. Hanya dengan itu, kita sudah dibumbui ketenangan. Luka
bertukar suka, pahit ditelan manis, dan segala derita hilang, hanya dengan
senyuman di wajahnya.
Kita tahu,
dia bakal pergi suatu hari nanti. Tapi, saban hari kita mendoakan, agar lebih
baik jikalau kita yang pergi dahulu. Sungguh, kita tidak tegar kehilangannya,
kerana kehilangan itu suatu penyiksaan. Bukan kita menghalang ketentuan Allah,
tapi kerana terlalu sayang… terlalu sayang.
Sayang
itulah ikatan kita dan dia, jika tidak, biar berjauhan sekalipun, kita tidak
merasakan apa-apa. Tegarnya Allah ‘merampas’ kekasih kita, begitukah Allah,
suka melihat kita berduka?
Tidak. Kita
yang melihat diri sendiri, justeru jika kita yang berduka, maka kita yang
menilai. Antara sayang kita kepada dia dan sayang Allah kepada dia, yang mana
lebih bernilai? Sanggupkah kita bertanding dalam mengukur sayang kita dengan
sayang Allah? Usahkan sanggup atau tidak, layak pun sudah tiada. Allah cuma
cebiskan sifat sayang sesama hamba dengan kadar yang sedikit, itupun sudah
meronta-ronta kehilangan, sedangkan, di sisi Allah, sayang itu lebih bermakna
dan bernilai.
Biarlah, dan
redhalah, disana ada Allah yang menjaganya. Ada mahligai untuknya, dan dia bakal menanti
kita jua. Cuma masa sahaja yang menentu, samada, kita bakal menyusulnya cepat,
atau lambat.
Adakah
kehilangan dia lebih bermakna daripada kehilangan jati diri? Bersedihlah kerana
kehilangan yang sementara itu, tapi usah memendam rasa terlalu lama. Usah
berkabung macam puteri hilang takhta. Tapi, belajarlah untuk menerima hakikat.
Itu satu ujian daripa Allah juga, kerana mungkin, hakikat yang lebih pahit dari
itu bakal menyusul nanti. Bersedia untuk menerima, kerana hakikat adalah
sesuatu yang amat pahit.
Doakan
semoga rohnya bahagia di sana ,
bersama dengan mereka yang telah pergi, dan bersama dengan baktinya buat kita
dahulu. Berdoalah agar penamat baginya ialah syurga yang tersergam indah itu,
agar, dia bisa mempersiapkan sebuah mahligai untuk menyambut kehadiran kita
kelak.
Utuskan
salam alfatihah, sebagai peneman yang kita utus untuk menjaganya. Tapi, usah
kita lupa, Allah sentiasa menjaganya. Kadang-kadang kesyukuran kita belum cukup
atas segala nikmat dan anugerah yang Allah berikan. Sebab itulah, Dia mengambil
kembali nikmat dan anugerah itu. Mungkin juga, kehilangannya menyebabkan kita
lebih memahami erti tawakkal, justeru, itu satu lagi ujian buat kita.
Dia sudah pergi,
bersama dengan kasih yang kita resmi. Segala kenangan kita dan dia di dunia,
kita basmikan dengan satu doa. ‘Ya Allah, pelihara dia disana’.
Tidak wajar
kita berbungkam, dengan langkisau yang menumpang. Kerana angin ribut bakal
berakhir jua. Kata pepatah ‘kita tidak akan berpijak pada air yang sama di
sungai, kerana ianya sudah mengalir pergi’. Usah diingatkan terlalu, apa yang
telah berlalu. Dengan kehilangan dia, mungkin kita perlu lebih belajar untuk
menghargai sesuatu atau seseorang.
Dalam diam,
bermujahadahlah kita untuk menerima hakikat yang selalunya pahit. Dalam diam,
berdoalah agar kita juga pergi menyusulnya suatu hari nanti. Cubalah, untuk
belajar menerima kehilangan, kerana kehilangan bukanlah asing dalam kehidupan.
Bukan kita tidak
sanggup, tapi kerana terlalu sayang. Bukan kerana tidak mampu menerima hakikat,
tapi ikatan kita terlalu kuat. Kehilangannya mungkin membuatkan kita belajar
untuk lebih bersyukur. Tiada apa yang kekal di dunia ini, itu hakikat yang
harus kita terima.
Atau kita
lebih terbelajar untuk tidak terlalu menyayangi, tidak terlalu mencintai.
Kerana itu akan membuatkan kita hilang kualiti peribadi. Saat kehilangan, apa
yang harus difikirkan lagi. Segerakan persiapan, tabahkan jiwa, dan runtunkan hati
untuk lebih menerima.
Dahulu kita
sudah memberikan sepenuhnya kasih kita kepada dia. Ikhlaskan semua itu. Kerana,
jika kita ikhlas memberi, mengapa kita takut untuk tidak menerima? Apa yang
berlaku, semuanya bermakna untuk sesuatu, sesuatu keikhlasan. Lihatlah, Allah
bukan ingin menghancurkan kasih dan sayang kita, tapi Allah ingin sayang kita
pula, lebih dari sayang kita kepada dia dahulu.
Terimalah
perpisahan dengan tenang. Kerana itu lumrah kehidupan. Biarpun pahit, semuanya
satu suratan.
No comments:
Post a Comment