Thursday, October 27, 2011

Tiga sikap buat wanita tampak hodoh

Pernahkah anda melihat wanita yang terlalu cantik, sempurna segala zahirnya, anggun bergaya dengan kosmetik dan perhiasannya bak supermodel? Bukan hanya lelaki yang suka memandang, bahkan sesama perempuan juga tertarik melihat penampilan yang sedap dipandang. Tetapi sayangnya, setelah anda mengenali hati budinya, dia sungguh berbeza luaran dan dalaman. Luaran amat memukau, manakala dalaman pula sungguh memeranjatkan!

Lelaki yang hidung belang memang tidak ambil kisah tentang keperibadian seorang wanita. Apa yang penting buat mereka adalah seksi dan boleh memuaskan nafsu keji mereka. Tetapi, lelaki sejati yang beriman tidak akan sanggup mengambil isteri seorang wanita yang jahil, busuk hati dan kesat lidah sebagai pendamping hidup.

Ada pula yang mengambil risiko cuba-cuba untuk nasib, manalah tahu si jelita ini boleh berubah perangainya suatu hari nanti, tapi nahas pula yang diperolehi, habis beribu ringgit melabur supaya isteri berubah, tetapi tidak juga berhasil usaha untuk ‘turn over’ hati dan sikapnya.

Setiap wanita yang dilahirkan dalam keadaan sempurna jasmaninya, jangan berpuas hati dahulu sebelum menilai kelemahan yang tersembunyi dari pandangan orang lain. Jika anda memiliki tiga sifat berikut ini, baik berhati-hati kerana setiap lelaki yang mengenali mungkin akan lari meninggalkan anda.

1 – Jahil

Dunia semakin maju, teknologi dan informasi terkini telah pun tersebar dengan pesat dan cepat. Wanita dulu dan sekarang jauh berbeza, tetapi yang tidak pernah berubah adalah kefahaman agama yang mesti dipegang dengan kuat, seiring beredarnya masa menuju akhir zaman yang semakin mencabar.

Jahil tentang ilmu dunia dan akhirat adalah kelemahan yang membuat anda nampak hodoh. Hanya ilmu yang boleh mengangkat status seseorang dan merubah sejarah hidup manusia. Ilmu dunia jika tidak diiringi dengan ilmu akhirat (agama) akan pincang.

Wanita yang mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan, ekonomi, sosiologi, antropologi, politik, sains dan lain-lain akan tersesat tanpa bimbingan ilmu agama yang sahih. Inikan pula wanita yang tidak tahu apa-apa selain kosmetik dan butik, jadi hendak ke mana dibawa anak-anak yang lahir dari rahim mereka ini?

2 – Buta hati

Cantik paras rupa tetapi buta hati. Tidak akan selamat sesiapa pun yang mendampingi wanita sebegini. Hati merupakan pusat tenaga pada diri manusia. Jika baik hatinya maka baiklah amalannya dan begitulah sebaliknya. Mengapa sibuk mandi aura bunga-bungaan sebagai pembangkit tenaga dalaman tetapi hati pula dibiarkan busuk dan bernanah.

Apakah yang menyebabkan hati sakit?

i) Tidak mengenal Allah dan Rasul dengan sebenarnya

Jalan mengenal Allah dan Rasul adalah dengan mempelajari al-Quran dan hadis. Bukan setakat dibaca tapi dikaji, difahami, diamalkan dn diperjuangkan. Kalau pergi ke pusat rawatan kecantikan atau salun pasti waktu habis dua tiga jam untuk satu sesi, mengapa pula jika belajar agama tiada masa dan asyik memberi alasan ‘sibuk’?

Hati yang tidak disentuh ayat-ayat Allah dan ilmu-Nya, semakin lama akan menjadi semakin kotor, sakit dan tenat kerana tabiat hati diciptakan Allah SWT memerlukan makanan. Makanan hati adalah al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

ii) Terlalu berlebihan dalam perkara mubah

Banyak makan, tidur, sibuk dengan hiburan, permainan, shopping, menghias rumah berlebih-lebihan, sibuk bersenam dan berubat mengalahkan kewajipan sembahyang. Tidak tahu mana prioriti dalam kehidupan. Hal ini boleh merosakkan hati.

Agama tidak melarang manusia bersenang-senang, tetapi hidup ini mesti seimbang antara dunia dan akhirat. Jika setiap hari keletihan akibat mengikut segala kemahuan hawa nafsu sehingga tidak larat untuk beribadah, tentu keadaan sebegini akan menyebabkan seseorang menjadi lalai. Jika sudah lalai, hati menjadi keras dan kotor, tidak mampu membezakan yang baik dan buruk dalam perbuatannya.

iii) Menjadikan syaitan sebagai teman akrab

Amat berbahaya jika syaitan duduk dalam hati manusia. Meniupkan angin dengki, prasangka buruk, dendam amarah, riak dan sombong. Jangan biarkan syaitan masuk ke pintu hati kita dan menebarkan racun-racunnya. Berlindunglah kepada Allah SWT daripada gangguannya. Hati yang sakit melahirkan perangai-perangai yang gila, menyusahkan diri dan orang lain. Tidak ada wanita yang lebih hodoh dari si pendengki, pencemburu buta dan pendendam. Maka waspadalah!

3 – Kasar lidah

Kehodohan yang paling ketara adalah ketika seorang wanita melepaskan panahan lidahnya. Tajam menusuk hati orang yang mendengar, menyebabkan siapapun enggan bersahabat dengannya. Suami menghindari, anak-anak lari, jiran dan handai taulan menutup diri tidak mahu berhubungan dengan wanita yang tidak pandai menjaga lidahnya. Mengumpat, memfitnah dan mencaci telah sebati dalam dirinya. Al-Quran telah memberi amaran seksa bagi orang yang mengumpat saudaranya yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat ayat 12)

Sesungguhnya jahil, buta hati dan kasar lidah adalah sehina-hina perangai yang dibenci makhluk apatah lagi Allah Taala yang Maha Suci. Kecantikan perlu diusahakan dan dicari, maka berhiaslah dan berubatlah untuk kecantikan zahir dan batin.

Renung-renungkan!

Sumber : Dr Hj Juanda Jaya

BAGAIMANA CARA BERZIKIR KETIKA SIBUK BEKERJA?

Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.

Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”

Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah SWT.

Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya: ”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)

Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)

Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.

Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”

Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”

Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!